MENU

Mereka kemudiannya beralih ke tempat baru, iaitu Kompleks MTAQ di Pulai Chondong pada 16 Mei 1993. Kompleks MTAQ ketika itu sudah siap binaan asasnya, dengan sebuah bangunan di atas tanah seluas empat ekar. Walaupun para pelajar terpaksa menghadapi segala kekurangan dari segi prasarana dan kemudahan, namun mereka berjaya mengikuti segala proses pembelajaran seperti mana yang diharapkan oleh kerajaan.

MTAQ menjalankan program imam tarawih buat kali pertama pada bulan Ramadan tahun 1413 Hijrah. Sebilangan pelajar dipilih untuk bertugas sebagai imam tarawih di beberapa jajahan sekitar negeri Kelantan sebagai latihan untuk menghadapi masyarakat setempat. Program yang dijalankan ini mendapat sambutan hangat dari semua penduduk negeri Kelantan dan secara tidak langsung memperkenalkan MTAQ di kalangan masyarakat luar Kelantan.

Antara kejayaan yang mula-mula dicapai oleh MTAQ ialah Anugerah Sekolah YIK Terbaik SPM 1997 dan Anugerah Sekolah Terbaik YIK STU 1997. Kejayaan yang diraih ini sekaligus menjawab persoalan di kalangan masyarakat bahawa menghafaz al-Quran tidak menghalang kecemerlangan di dunia.

Kemudahan dan prasarana MTAQ juga ditingkatkan dari semasa ke semasa. Pada tahun 1998, sudah beberapa binaan ditambahkan. Antaranya ialah bangunan pentadbiran, perpustakaan, masjid, dewan makan dan dua unit rumah guru. Kakitangan pengurusan MTAQ juga bertambah menjadi seramai 21 orang, termasuk empat orang kakitangan sokongan.

Majlis Pelajar (MP) ditubuhkan secara rasminya pada tahun 2000. MP merupakan sebuah pertubuhan pelajar yang menjadi penaung kepada beberapa buah badan di MTAQ seperti Badan Dakwah & Kepimpinan, Badan Disiplin dan Badan Asrama. Penubuhan MP telah memantapkan lagi proses pelaksanaan aktiviti kokurikulum dalam kalangan pelajar.