APA ITU RANCANGAN TEMPATAN MACHANG 2010 ?
Rancangan Tempatan (RT) Machang merupakan satu dokumen perancangan yang menyatakan semua cadangan pembangunan guna tanah dan fizikal secara terperinci mengikut lot-lot tanah bagi kawasan yang telah ditetapkan menjelang tahun 2010. RT Machang disediakan mengikut peruntukan di bawah seksyen 12(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
RT Machang 2010 telah diwartakan pada 26 Oktober 2000 dengan nombor warta 891 dan telah diguna pakai sebagai salah satu syarat dalam mempertimbangkan permohonan pemajuan tanah.
KENAPA PENGUBAHAN RT DIPERLUKAN ?
Di bawah subseksyen 18(1) dan 18(3) Akta 172, penggunaan tanah dan bangunan yang akan dimajukan dan dikemukakan permohonan kebenaran merancang (KM), ia hendaklah selaras dengan rancangan pemajuan (rancangan struktur dan rancangan tempatan).
Ini bermakna sekiranya terdapat permohonan KM yang tidak selaras dengan peruntukan RT, pihak berkuasa perancang tempatan (PBPT) masih boleh menimbang permohonan tersebut sekiranya ianya relevan dengan perkembangan semasa.
Walau bagaimanapun, PBPT hendaklah membuat pengubahan terhadap RT berkenaan sebelum KM dikeluarkan. PBPT juga telah meluluskan beberapa pembangunan bagi tujuan ubah syarat dan pecah sempadan.
Oleh yang demikian pengubahan ke atas rancangan tempatan sedia ada, iaitu khususnya peta cadangan gunatanah bagi kawasan-kawasan tersebut, perlu dibuat selaras dengan kehendak Akta 172 untuk mengawal perancangan dan pembangunan akibat tekanan pembangunan yang diterima.
MENGAPA PERANAN AWAM PENTING ?
Orang awam adalah pihak yang terlibat secara langsung terhadap pembangunan yang dilaksanakan. Suatu pembangunan yang dimajukan akan dihuni oleh pihak awam sebagai penduduk tempatan.
Orang awam berperanan penting dalam semua peringkat perancangan sama ada sebelum, semasa atau selepas ianya dilaksanakan.
Agensi pelaksana memerlukan maklum balas atau responsif daripada pihak awam pada peringkat awal agar perancangan yang dijalankan tidak terkeluar daripada matlamat merancang untuk rakyat. Orang awam dapat membantu agensi pelaksana membuat perancangan dengan lebih berkensan.