UITM Machang UITM Machang

 

Uitm Machang

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan Kampus Machang yang dahulunya dikenali dengan Institut Teknologi MARA, kampus cawangan yang ke 9 telah dirasmikan penubuhannya pada 01 Julai 1985 oleh YAB Tan Sri Dato' Haji Mohamad bin Yaakob, Menteri Besar Kelantan pada ketika itu. 
 

Penubuhan UiTM adalah hasil daripada kerjasama erat di antara pihak UiTM dengan Kerajaan Pusat. Hasil daripada kerjasama ini, Kerajaan Pusat telah memperuntukkan tanah seluas 12 ekar di Kem Kijang yang terletak kira-kira 8 kilometer dari bandar Kota Bharu yang dimiliki oleh Majlis Pengakap Negeri Kelantan.

Kerja-kerja mengubahsuai beberapa bangunan lama dan pembinaan bangunan baru telah dibiayai oleh Kerajaan Pusat dengan menelan belanja sebanyak RM 1.5 juta. 

Kumpulan pertama seramai 185 orang pelajar telah diambil bagi semester Julai – Disember 1985 untuk mengikuti kursus-kursus Diploma Perakaunan, Diploma Pengajian Perniagaan, Diploma Pengurusan Bank dan Diploma Sains Kesetiausahaan. Pada peringkat awal, bilangan kakitangan adalah seramai 71 orang iaitu 7 orang pensyarah dan 64 orang kakitangan bukan akademik. 

Pembinaan kampus tetap telah dimulakan pada 1993. Kerajaan Pusat telah memperuntukkan tanah seluas 200.32 hektar di Bukit Anjing, Machang untuk dijadikan kampus tetap. Nama asal Bukit Anjing telah dimartabatkan menjadi Bukit Ilmu sesuai dengan fungsinya yang menyediakan peluang pembelajaran dalam pelbagai disiplin ilmu untuk Bumiputera. Ianya merupakan ilham dari Allahyarham Dato' Nik Abd. Rashid Nik Abd. Majid, bekas Pengarah ITM ketika itu. 

Perpindahan rasmi ke Kampus Machang bermula pada 01 Januari 1996. UiTM Kelantan yang dahulunya dikenali sebagai ITM telah dinaikkan taraf menjadi Universiti Teknologi MARA atau ringkasnya UiTM pada 26 Ogos 1999. Kini UiTM Kelantan sedang berkembang pesat bagi memenuhi keperluan menjadi Universiti terunggul di negeri Kelantan khususnya. 

[ Kembali ]